RAJA, MELAYU DAN ISLAM. APA BEZA INGGERIS DAN UMNO?
Inggeris memilih seorang anak raja untuk menjadi PM yang pertama kerana prinsip 3R...
Mengkaji budaya dan pemikiran bangsa yang dijajah menyumbang kepada kehebatan Inggeris sebagai imperialis yang berjaya di Timur. Inggeris menjajah India, Burma, Hongkong, Malaya, Singapura dan Borneo.
Di Malaya, Inggeris menjadi penjajah sejak Francis Light membuka Pulau Pinang pada 1786. Inggeris kemudiannya secara bijak mengambil alih pentadbiran negeri Perak selepas Perjanjian Pangkor 1875 dan satu-persatu negeri-negeri Melayu jatuh ke tangan penjajah Inggeris.
Apakah faktor yang menyumbang kepada kejayaan Inggeris sehingga begitu mudah mereka menawan negeri-negeri Melayu walhal bangsa Melayu begitu berani berperang dengan Portugis pada 1511?
Hasil daripada pemerhatian terhadap sikap dan budaya orang Melayu, Inggeris tahu, orang Melayu hanya sanggup menentang dan berkorban kerana tiga perkara utama. Pertama kerana raja. Kedua kerana agama Islam dan ketiga jika kedudukan bangsa Melayu terancam!
Atas alasan itu, pegawai-pegawai Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu mestilah berhati-hati dengan isu yang membabitkan kedudukan raja-raja Melayu, dilarang mencampuri urusan adat istiadat Melayu dan agama Islam.
Inggeris menjaga kedudukan dan kedaulatan raja-raja Melayu. Bermakna kesetiaan orang Melayu kepada raja secara tidak langsung kesetiaan kepada penjajah Inggeris.
Setelah Parti kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO mengambil alih peranan penjajah Inggeris, pemimpin UMNO mengekalkan sokongan majoriti bangsa Melayu dengan falsafah 3R (Royal, Race and Religion) yang diamalkan Inggeris.
Selama 54 tahun, pemimpin-pemimpin UMNO terus menjadikan isu bangsa, agama dan raja sebagai strategi utama untuk terus kekal berkuasa.
Persoalannya, adakah UMNO lebih baik daripada Inggeris dalam menjaga kebajikan bangsa Melayu, agama Islam dan raja-raja Melayu? Atau UMNO menggunakan isu 3R semata-mata untuk menjadikan parti itu kekal berkuasa dan menjadi penjajah baru kepada bangsa Melayu?
Renung-renungkan…..
No comments:
Post a Comment